“Abang, atap rumah kita sudah bocor. Dapur sudah masuk dua hari tak berasap” rungut si isteri.
“Abang tahu. Maafkan abang” balas sang suami. Riak wajahnya menampakkan kesal yang mendalam.
“Apa kita nak buat sekarang?” tanya si isteri lagi.
“Marilah berzikir, sayang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…!” jawab si suami.
“Apa abang ni? Orang cakap betul-betul, dia main-main pula” marah si isteri.
Itu bukan jawapan yang diharapkannya. Ketika hati panas mengeluh tentang kemiskinan dan kesusahan hidup, sepatutnya seorang suami mendatangkan idea-idea yang boleh mengubah keadaan. Biarlah ada perancangan tentang menambah kerja, berniaga pasar malam atau apa sahaja.
“Bukankah di dalam al-Quran Allah sudah berjanji” si suami mempertahankan pendiriannya.
Mungkin dia merujuk kepada firman Allah:

Si suami termenung. Cakap isterinya makin melalut. Dalam suasana begini, jangan dipanjang-panjangkan bahas dan debat. Nanti makin jauh tersasar dari jalan kebenaran.
Walaupun hatinya panas mendengar celoteh isteri, tetapi terdetik juga di fikiran. Tenangkah hati kalau semasa perut lapar dan rumah bocor, mulut berzikir dan bertasbih. Kalau semasa menerima bil demi bil pada hujung bulan, terhapuskah tekanan dengan zikrullah? Pahala tu pahala juga. Tetapi duit tetap nak kena cari.
Maha Suci Allah daripada sifat mungkir janji. Sudah diberitakan-Nya bahawa zikir itu mengundang tenang.
Subhanallah… tidak mungkin ayat itu menipu.
Maha Suci Allah daripada memberikan penyelesaian yang tidak praktikal.
Maha Suci Allah daripada menjadikan tubuh badan manusia berkehendakkan makanan, tetapi disuap-Nya dengan zikir semata-mata.
“Eh, sudah empat kali aku menyebut Subhanallah! Kalau Allah Subhanahu wa Taa’la itu Maha Suci daripada segala sifat tadi, tentu sahaja silapnya ada padaku. Aku yang patut mencari di mana kelemahan aku dalam merancang kehidupan” kata si suami.
“Alhamdulillah… tenang sikit rasa hati” monolognya sendirian.
Setelah perasaan, fikiran dan sangkaan yang negatif tentang kehidupan ini (tentang Allah barangkali) disembuhkan, barulah terbuka matanya untuk melihat satu demi satu nikmat yang hakikatnya masih banyak dan menanti untuk dimanfaatkan bagi memperbaiki kehidupan.
Alhamdulillah!
“Allahu Akbar! Allah tidak tipu. Aku sudah tenang. Ayat itu benar. Aku mesti mengajak isteriku sama. Dalam zikir mesti ada fikir. Baru tenang hati dan tenang minda,” kata si suami.
Benar… kisah di atas sepatutnya bukan kisah yang asing.
Ketika kaum Muhajirin mengadu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang kemiskinan mereka, reaksi baginda juga sama. Muhajirin mengadu bukanlah tentang kemiskinan yang menyeksa kehidupan, tetapi kemiskinan yang mengurangkan peluang amal. Kurang peluang bersedekah dan membantu sesama ikhwah.

Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa (di suatu hari) telah datang golongan fakir dari kelompok Muhajirin kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam, lalu mereka berkata: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi dan baik terpuji. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: apa yang kalian maksudkan? Jawab mereka: Orang-orang kaya itu bersolat seperti kami bersolat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa. Mereka bersedekah tetapi kami tidak bersedekah kerana tidak punya harta. Mereka membebaskan hamba abdi, tetapi kami tidak mampu berbuat demikian…
Malah keletihan menguruskan rumahtangga dengan kerja-kerja yang kasar dan berat oleh Saidatina Fatimah radhiyallaahu ‘anha juga diberikan reaksi yang hampir sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu?
Apakah yang bakal diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sahabat?

Bahkan, ajarkanlah kepada kami ya Rasulullah! Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertakbir dan kamu bertahmid setiap kali selesai mengerjakan solat dengan bilangan tiga puluh tiga kali
Kalimah-kalimah ini memang ringan di lisan dan berat di Mizan. Tetapi kehebatannya tidak terhenti pada soal pahala Akhirat yang menjadi ‘matawang’ kita di Sana. Ia juga mempunyai implikasi yang besar kepada diri manusia yang melaziminya pada kehidupannya di dunia.
Kalimah yang berkuasa tinggi.
Diucapkan dengan emosi.
Diulang 33 kali.
Mustahil ia sekadar soal pahala. Sebaliknya zikir itulah kunci untuk manusia miskin dan susah bangkit dari segala keadaan itu kepada kehidupan yang lebih baik. Cemerlang.
SUBHANALLAH
Maha Suci Allah daripada sifat ZALIM dan menzalimiku hingga hidupku susah begini.
Maha Suci Allah daripada sifat JAHIL hingga Allah tidak tahu tentang apa yang sedang aku alami.
Maha Suci Allah daripada sifat BUTA hingga tidak nampak penderitaan yang kutanggung ini.
Maha Suci Allah daripada sifat PEKAK hingga tidak mendengar keluhan dan doaku ini.
Maha Suci Allah daripada segala kekurangan. Dan Allah yang Maha Sempurna itu, tidak harus dinisbahkan kepada-Nya sebarang prasangka dan persepsi yang negatif.
Justeru jika kemiskinan ini menjadi suatu kecelakaan ke atas diriku, maka bukanlah kerana Allah mengurangkan pemberian-Nya, tetapi aku yang gagal memanfaatkan ‘modal percuma’ yang diberi. Aku yang menjadikan kemiskinan itu keburukan.
Jika kita berniaga dengan modal RM50 dan hasil jualan berjumlah RM70, ini bermakna kita untung RM20. Berapakah modal yang kita keluarkan untuk memiliki tangan, kaki, kepala, mata, telinga, otak, dan tubuh badan ini sebagai bahan untuk mencari laba kehidupan?
PERCUMA!
Semuanya diberikan oleh Allah dengan elok dan baik. Justeru pada saat aku merasakan bahawa aku tidak memiliki apa-apa, aku masih punya sebab yang besar untuk mengucap syukur atas keuntungan perniagaan hidup tanpa modal sendiri ini. Alhamdulillah…
Segala puji bagi Allah yang memberikan aku kehidupan untuk kuberjuang dalam kehambaan kepada-Mu.
Segala puji bagi Allah yang memberikan aku tubuh badan untuk tujuan itu.
Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal hingga aku mampu berfikir sebagai penghulu kehidupan.
Segala puji bagi Allah yang rupa-rupanya mengujiku dengan kemiskinan agar terdesak untuk bermuhasabah, terdesak untuk mencari kembali pemberian-pemberian yang banyak dalam kehidupan, terdesak untuk mengubah cara hidup, terdesak untuk bangkit dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik serta berjaya, di dalam SYUKUR.
Alhamdulillah.
Subhanallah telah meluruskan kepercayaanku, justeru datanglah makna yang besar tatkala aku mengucap Alhamdulillah. Benar-benar segala puji itu adalah untuk-Nya.
Tenang… kecamuk jiwa beroleh damai. Kekusutan fikiran mula terungkai membentang jalan. Janji Allah bahawa zikir kepada-Nya menganugerahkan rasa tenang, kini aku benar-benar tenang. Allahu Akbar!
Indahnya hidup berTuhan. Sentiasa ada sumber sandaran. Sandaran yang mencetuskan keyakinan. Keyakinan yang menyuntik kekuatan. Kekuatan yang menjadikan aku manusia miskin yang bangkit menuju kejayaan.
Allahu Akbar!
Maha Besar dan Maha Agungnya Dia, mengatasi segala-galanya.
Sesungguhnya ZIKIR hanya mendatangkan tenang, apabila ZIKIR datang dengan FIKIR.
FIKIR yang mendatangkan kejayaan, hanyalah FIKIR yang datang dengan ZIKIR.
Itulah kehebatan aku sebagai Mukmin. Manusia ajaib yang tidak pernah berperasaan buruk terhadap kehidupan, kerana baik sangkanya dia kepada Tuhan.
Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, daripada Suhaib radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata, suatu ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk bersama para sahabatnya dan tiba-tiba Baginda ketawa. (Melihatkan keadaan sahabat yang terkejut) Baginda berkata: Apakah kamu tidak mahu bertanyakan aku apa yang menyebabkan aku ketawa? Mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa engkau ketawa?
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Ajaib sungguh perihal seorang mukmin. Semuanya baik belaka untuk dirinya. Jika dia mendapat sesuatu yang disukainya, dia memuji Allah lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Dan jika dia ditimpa sesuatu yang dibencinya, dia bersabar. Lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Bukan semua orang yang boleh menjadikan segala perkara adalah baik untuknya kecuali MUKMIN.


0 kata-kata anda:
Post a Comment